TAWAU:Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyerahkan sepenuhnya pengoperasian Hospital Medan Tawau kepada Kementerian Kesihatan (KKM), untuk dijadikan wad merawat kes COVID-19 berisiko rendah.

Hospital berkenaan akan diuruskan oleh Hospital Tawau bermula hari ini, kata Panglima 13 Briged Infantri Brigedier Jeneral Abdul Razak Hussain.

Beliau berkata, Hospital Medan ATM itu berjaya melaksanakan objektif bagi membantu Hospital Tawau merawat kes-kes bukan COVID-19.

Katanya, sejak 20 Oktober lalu, seramai 1,366 pesakit telah menerima rawatan.

"Kewujudan Hospital Medan Tawau ini turut membolehkan atur gerak pasukan pembedahan ATM ke Hospital Kunak dan berjaya melaksanakan 36 kes bersifat kecemasan, semi-elektif dan elektif.

"Keberadaan pasukan pembedahan ATM ini, berjaya mengurangkan tempoh menunggu pesakit kes-kes kanser di Pantai Timur Sabah untuk menjalani pembedahan kuratif dan paliatif," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Hospital Medan ATM membabitkan Komander Hospital Medan Tawau Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad kepada Pengarah Hospital Tawau Dr Norlimah Arsad di sini.

Sementara itu, Dr Norlimah berkata Hospital Medan Tawau yang terletak di Kompleks Sukan Tawau itu, akan diubah suai dan dijadikan sebagai wad rawatan bagi pesakit COVID-19 berisiko rendah dengan kelengkapan 96 katil.

"Keputusan ini berdasarkan trend penurunan kes COVID-19 sejak November hingga kini, dan lebih banyak kes pesakit bukan COVID-19 memerlukan rawatan intensif di Hospital Tawau termasuk intubasi.

"Setakat semalam kira-kira 70 peratus pesakit bukan COVID-19 menerima rawatan di Hospital Tawau, manakala pesakit COVID-19 tahap empat dan lima masih dirawat di Hospital Tawau, namun pesakit dirawat ketika ini kurang daripada 10," katanya.